Kakitangan kerajaan dilarang buat pernyataan awam!!!!!!

Penjawat awam dilarang membuat sebarang bentuk pernyataan awam - lisan atau bertulis - kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej perkhidmatan, organisasi dan kerajaan. Peringatan ini dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dalam surat edaran bertarikh 14 Mei kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan.

"Dimaklumkan bahawa, Kerajaan memandang serius terhadap sebarang bentuk pernyataan awam yang dibuat pegawai awam sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan. "Keadaan ini boleh menjejaskan imej kerajaan serta hasrat untuk menjayakan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," katanya. Di bawah Peraturan 19 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memberi pelbagai implikasi;

a. memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu;

b. memalukan atau memburukkan nama kerajaan; atau

c. menunjukkan kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan.

Di bawah Peraturan 19 (2), Peraturan yang sama pula, seseorang pegawai awam tidak boleh membuat pernyataan awam mengenai sesuatu perkara melainkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada menteri sama ada secara am atau khusus.

a. apa-apa ulasan tentang kelebihan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan

b. memberi apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi kerajaan atau

c. memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan kerajaan.

Ismail berkata, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan hendaklah memantau perkara itu dan mengingatkan semua pegawai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pernyataan awam agar tidak menjejaskan imej perkhidmatan, organisasi dan kerajaan. "Sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang mengingkari arahan ini, tindakan tatatertib hendaklah dikenakan ke atas mereka berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.- Bernama

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP