Belon panas di Putrajaya


BERMULA semalam hingga 22 Mac ini, kawasan letak kereta Monumen Alaf Baru di Presint 2 Putrajaya dimeriahkan dengan penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang julung-julung kali diadakan.

Program anjuran Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) dan AKA Balloon Sdn. Bhd., itu diadakan dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Putrajaya Corporation, Majlis Tindakan Pelancongan Putrajaya dan Pelancongan Malaysia.

Sempena fiesta itu, pelbagai aktiviti diatur oleh pihak penganjur untuk memberi peluang kepada orang ramai menikmati dan menyertainya.

Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, Khairudin Abdul Rani berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan program seumpama ini.

"Selaku penganjur, kami amat gembira kerana fiesta ini mendapat sokongan ramai termasuk pihak penaja yang sudi bekerjasama untuk menjayakannya.

"Kami juga telah membuat perancangan untuk menjadikannya sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar kami sekali gus dapat berkongsi pengalaman mengenai belon udara panas dengan orang ramai," kata Khairudin yang berpengalaman selama 20 tahun dalam aktiviti menerbangkan belon panas.

Jelas Khairudin lagi, antara negara yang menghantar penyertaan untuk Fiesta Belon Udara Antarabangsa Putrajaya itu adalah Belgium dengan lima penyertaan, Belanda tiga penyertaan, Perancis dua penyertaan dan New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Switzerland serta Jepun, masing-masing dengan satu penyertaan.

Sepanjang program selama empat hari itu, sebanyak 25 belon panas yang terdiri daripada pelbagai corak dan bentuk akan mewarnai ruang udara Putrajaya.

"Saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang datang ke sini bersama keluarga untuk menikmati keseronokan ini," ujarnya.

Selain aktiviti menaiki belon panas, antara program lain yang diadakan adalah pertunjukan paramotor, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan menghasilkan kapal terbang kertas dan demonstrasi permainan layang-layang.

Untuk pemenang setiap pertandingan, mereka berpeluang terbang di ruang udara Putrajaya dengan menaiki belon panas yang disediakan.

Bagaimanapun, bagi orang ramai pula, mereka masih boleh menaiki belon panas yang telah diikat secara turun dan naik, bukan terbang.

Acara kemuncak fiesta tersebut adalah aktiviti Night Glow yang mempesonakan dan dijadual berlangsung pada 21 Mac ini, mulai pukul 8.30 malam hingga 9 malam.

Menerusi aktiviti Night Glow, belon panas yang disediakan seolah-olah akan berlepas ke udara dan menerusi arahan berkod melalui komunikasi radio, juruterbang akan mencipta pelbagai kesan mengagumkan daripada hanya tiga arahan iaitu burn, flicker dan flash. Semua urutan menakjubkan itu akan mencipta campuran muzik istimewa.

Di samping itu, Tasik Putrajaya Cruise turut menawarkan harga istimewa sepanjang fiesta berlangsung bagi menaiki Sightseeing Cruise dan Perahu Dondang Sayang. Pengunjung boleh berlabuh dari Jeti Monumen Alaf Baru yang bertentangan dengan Jeti Putra.

Ini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menenangkan fikiran dan merasai pengalaman menyeronokkan di Putrajaya yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi sekretariat di talian 03-7494 0298 atau layari laman web www.myballoonfiesta.com.

Antara penaja yang terlibat ialah MAS Kargo selaku penaja rasmi pengangkutan, Petronas Dagangan Berhad, Hotel Palace of the Golden Horses, Kelantan Delights dan Media Prima Berhad.

Petikan dari Kosmo! Online

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP