Nik Aziz Terima Baik Kekalahan Pasukan Bola Sepak Kelantan
KOTA BAHARU, 8 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima baik kekalahan pasukan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia dan menganggap ia sebagai perkara biasa yang perlu diterima peminat sukan.
"Kalau kita sudah bekerja kuat, bermain dengan bersungguh-sungguh kalah juga apa boleh buat, dia pun bekerja kuat untuk menang," katanya ketika mengulas kekalahan pasukan Kelantan pada perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.
Pada perlawanan itu Kelantan tewas 3-1.
Nik Aziz berkata sekiranya kekalahan itu disebabkan kecuaian pemain dan bermain secara sambil lewa adalah patut Kelantan menerima kekalahan itu.
"Matahari pun ada turun naik, selepas turun dia naik balik," katanya kepada pemberita di kediamannya di Pulau melaka di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau kesal dengan peristiwa yang berlaku di mana penyokong Kelantan dikatakan merusuh selepas perlawanan yang dianggapnya tiada semangat kesukanan.
"Sebab itu saya kata jangan sebut main (bermain bola), sebut riadah, dengan riadah baru ada semangat kesukanan," katanya.
-- BERNAMA